Friday, April 30, 2010

Lawatan Ke Parlimen



Satu Lawatan ke Bangunan Parlimen telah diadakan pada 29.04.2010. Program ini diiringi oleh Cikgu Jurianah dan Cikgu Habibah membawa pelajar, pengawas dan pengawas perpustakaan melawat sekitar Dewan Parlimen dan sempat melihat Sidang Dewan Negara diadakan.

Ahli Kelab Pencegahan Jenayah SMK Bandar Baru Bangi Lawat Bukit Aman




Bukit Aman - 29 April 2010. Diketuai oleh Ustaz Mansor Saman dan dibantu Cikgu Raja Noor Azma Raja Ahmad, seramai 40 orang ahli Kelab Pencegahan Jenayah dan Kadet Polis Sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Selangor telah melakukan lawatan sambil belajar ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman.


Ketibaan rombongan, disambut oleh Sub. Inspektor Ismail Md. Zin, dan dibawa ke Auditorium PDRM, untuk sesi taklimat.


Taklimat bertajuk Kerjaya Kepolisan Bersama Polis Diraja Malaysia dan Bersama Mencegah Jenayah, itu disampaikan oleh Supt. Rasdi Ramli, Penguasa Perhubungan Awam, PDRM.


Menurut Ustaz Mansor, tujuan utama lawatan tersebut adalah untuk memberi pendedahan serta pengetahuan kepada para pelajar tentang tugas dan tanggungjawab polis.


"Kami amat teruja dan berpuas hati dengan taklimat yang disampaikan oleh Supt. Rasdi Ramli yang secara jelas memberitahu fungsi dan peranan setiap jabatan yang terdapat dalam PDRM untuk menjaga keamanan dan keselamatan masyarakat negara ini", ujar Ustaz Mansor ketika ditemui setelah selesai sesi taklimat.


"Taklimat yang diberi turut membuka minda para pelajar gambaran sebenar tentang kerjaya kepolisan yang penuh dengan cabaran", ujar Ustaz Mansor yang amat berpuas hati misi lawatan yang dianjurkan itu.


Para pelajar seterusnya dibawa melawat ke Pusat Kawalan Keselamatan, Lapang Sasar, Lokap dan Gimnasium PDRM.


Ahli Pasukan Kadet Polis Sekolah, SMK Bandar Baru Bangi, bersama Supt Rasdi Ramli Penguasa Perhubungan Awam PDRM


Setelah sesi taklimat, para guru dan pelajar SMK Bandar Baru Bangi, bergambar kenangan bersama Supt. Rasdi Ramli Penguasa Perhubungan Awam PDRM.

Wednesday, April 28, 2010

Petua Pelajar Cemerlang



Oleh Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah


1. Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan
membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.
2. Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
* kita ingat 10 % apayang dibaca
* kita ingat 20% apa yang didengar
* kita ingat 50 % apa yang didengar & dilihat
* kita ingat 70% apa yang dicakapkan
* kita ingat 90% setelah dipraktikkan
3. Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.
4. Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah).

…Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas belajar seperti membaca
surat khabar, melawat rakan dan sebagainya….

5. Belajar dalam persekitaran kondusif.
* pastikan cahaya adalah terang
* kurangkan gangguan bunyi
* tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
* tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
* kerusi dan meja menghadap kiblat
* jangan lupa untuk senyum
6. Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.
7. Mengulang kaji menggunakan kaedah ‘output learning’ iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku/nota, ingat kembali, lakar/tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.
8. Tahu teknik merangsang memori:
* memasukkan maklumat dalam memori (registration)
* menyimpan maklumat dalam sel memori (retention)
* mengingat kembali (recall)
* menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application)
9. Sentiasa awal dan mendahului:
* persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
* pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
* belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.
* untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar.
10. Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.
11. Mempunyai teknik membaca yang betul:
* duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
* memberikan tumpuan sepanuhnya
* menggunakan jari telunjuk untuk membaca
* menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan
12. Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh & malas.
13. Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.
14. Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.
15. Mengadakan rehat sebentar setiap 20 minit mengulangkaji.
16. Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock). Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.
17. Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar).
18. Mengulang kaji secara bersendirian atau berkumpulan.
19. Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sebelum peperiksaan.
20. Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.
21. Mengulang kaji apabila mulai terlupa.
22. Tahu petua mengulang kaji
* cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
* siapkan semua ‘bekalan’ dengan sempurna
* duduk tegak dikerusi yang selesa
* baca doa penerang hati
* baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
* fikir dan ingat kembali isi utama
* catat/lakar
* semak semula ketepatan maklumat
* ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
* buat rumusan
* jawab soalan
* tampal maklumat yang rumit di dinding
* baca doa tanda kesyukuran selepas belajar
23. Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas beajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.
24. Tahu petua-petua agar tidak lupa:
* jangan makan kepala ikan
* jangan makan organ dalaman
* jangan minum semasa makan
* jangan minum atau makan makanan yang tercemar oleh semut
* jangan melihat kemaluan
* jangan melihat buih
* jangan membaca nama pada batu nisan
* banyakkan makan makanan yang mengandungi soya seperti tempe, tauhu dan lain-lain
* banyakkan makan kismis, kurma dan madu
* banyakkan makan kekacang
* pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
* jangan makan sehingga terlalu kenyang
* jangan kencing berdiri
25. Tahu kemahiran mengingat:
* tampal nota-nota penting di dinding
* tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
* gunakan kaedah akronim
* reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
* pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil
26. Cekap mengatur jadual belajar:
* mempunyai jadual belajar
* patuh kepada jadual
* buat jadual yang boleh diikuti
27. Tidak menangguh belajar pada saat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar.
28. Cari maklumat mengenai subjek yang tidak diketahui. Sediakan perkara-perkara yang tidak diketahui dan dapatkan penyelesaian dari orang yang lebih arif.
29. Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar.
30. Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa.
31. Membawa nota ke mana-mana sahaja (kecuali ke tandas).
32. Pelbagaikan tempat belajar.
33. Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham
34. Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.
35. Ciri-ciri pelajar cemerlang:
* taat kepada Allah
* mendirikan sembahyang
* menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
* hormati & sayangi guru
* bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan.
* suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
* membantu rakan yang memerlukan
* berdoa dan bersyukur kepada Allah
* sentiasa bertawakal
* mahir dalam setiap mata pelajaran

Kita juga perlu ingat pelajar yang cemerlang, adalah juga cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja. Semoga bermanfaat.

Wednesday, April 21, 2010

PERTANDINGAN BLOG KEPENGGUNAAN - Terbuka kepada Sekolah Menengah/IPTA/Swasta/ Maktab/Kolej

PERTANDINGAN BLOG KEPENGGUNAAN - Terbuka kepada Sekolah Menengah/IPTA/Swasta/ Maktab/Kolej

Kategori A: Sekolah Menengah
Kategori B: IPTA/Swasta/ Maktab/ Kolej



TEMA : HAK PENGGUNA - Penggunaan tema hendaklah menyentuh 8 HAK PENGGUNA seperti :-

1. Hak untuk mendapat keperluan asas
2. Hak untuk mendapat keselamatan
3. Hak untuk mendapat maklumat
4. Hak untuk membuat pilihan
5. Hak untuk mendapat ganti rugi
6. Hak untuk menyuarakan pendapat
7. Hak untuk mendapat pendidikan kepenggunaan
8. Hak untuk mendapat alam sekitar yang sihat.

Maklumat untuk membina blog, sila layari www.kkk.org.my, www.fomca.org.my, www.switch.org.my, www.standardsusers.org, www.nccc.org.my

Syarat pertandingan blog kepenggunaan - terbuka kepada sekolah menengah/ipta/swasta/ maktab/kolej

1. Blog hendaklah menggunakan Bahasa Malaysia sahaja. Sumber atau topik perbincangan boleh menggunakan Bahasa Inggeris.
2. Peserta blog hendaklah memuatkan maklumat terkini mengenai isu-isu kepenggunaan
3. Blog mengambilkira kekerapan penyertaan/penglibatan daripada orang awam, kreativiti, menarik, penggunaan bahasa, jumlah pelawat dan kumpulan sasaran.
4. Peserta blog boleh menghantar alamat blog penyertaan melalui email kepada urusetia@mypengguna.com This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it bersama-sama borang penyertaan pertandingan. Penghantaran maklumat melalui pos juga diterima.
5. Semua penyertaan hendaklah dihantar kepada pihak penganjur pada atau sebelum 18 Jun 2010

Hadiah bagi pertandingan blog kepenggunaan - terbuka kepada sekolah menengah/ipta/swasta/ maktab/kolej

Bagi Kategori A: Sekolah Menengah

1. Hadiah Pertama: RM 1,500.00 dan sijil penyertaan
2. Hadiah Kedua: RM: 1,000.00 dan sijil penyertaan
3. Hadiah Ketiga: RM 750.00 dan sijil penyertaan
4. 10 hadiah sagu hati: RM 200.00 dan sijil penyertaan

Bagi Kategori B: IPTA/Swasta/ Maktab/ Kolej

1. Hadiah Pertama: RM 2,000.00 dan sijil penyertaan
2. Hadiah Kedua: RM 1,500.00 dan sijil penyertaan
3. Hadiah Ketiga: RM 1,000.00 dan sijil penyertaan
4. 10 hadiah sagu hati: RM 200.00 dan sijil penyertaan

Monday, April 19, 2010

Pengorbanan Ibu bapa -Tazkirah Ringkas


Sejak kita dilahirkan, kita telah dijaga, dibelai, dididik dan diasuh
dengan begitu perihatin oleh kedua ibu bapa kita. Sewaktu kecil,
apabila kita merengek di tengah malam buta, ibu kita dengan kerelaan
hatinya terpaksa bersengkang mata untuk memujuk dan memberikan susu.
Manakala ayah pula sibuk berusaha memastikan kehidupan keluarganya
dalam keadaan yang baik agar kita dapat hidup dengan selesa dan
sempurna.

Lihatlah betapa besarnya jasa dan pengorbanan kedua ibu bapa kita.
Apakah tindakan kita yang sewajarnya untuk membalas jasa mereka ini?
Pernahkah selama ini kita membuatkan mereka kecil hati? Sesungguhnya
ingatlah syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Derhaka kita kepada
mereka bererti derhaka kita kepada Allah Taala. Taatilah mereka
selagi mana tidak bercanggah dengan hukum Islam. Berusahalah
membahagiakan mereka. Sentiasalah berdoa akan keselamatan dan
kesejahteraan mereka di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya doa
daripada anak-anak yang soleh inilah yang akan menerangi kehidupan
mereka di alam barkzah nanti. Ingatlah suatu hari nanti kita juga
bakal menjadi ibu dan ayah dan kita pasti akan mengharapkan agar
dikurniakan anak-anak yang soleh sepertimana harapan ibu dan bapa
kita juga.

Friday, April 16, 2010

OLAHRAGA KE 25 – 11 Mac 2010



Olahraga Sekolah berjaya dilangsungkan di Kompleks Sukan PKNS Seksyen 15, dari jam 7.30 pagi sehingga 2.00 petang. Ianya dirasmikan oleh YDP PIBG. Keputusannya: Johan: Rumah Wira -1718 mata; Naib Johan: Rumah Perdana – 1596 mata; Kedua; Rumah Saga – 1538 mata dan Keempat :Rumah Satria – 1453 mata.

Dalam pertandingan Perbarisan pula, kategori Badan Uniform dimenangi oleh Pasukan Pengakap manakala Rumah Perdana Masih Mendominasi selama 5 tahun berturut-turut bagi kategori Perbarisan Rumah SUkan. Tahniah Wira, Pengakap dan Perdana.

KEPUTUSAN SPM 2009


Tahniah! Sungguhpun hanya dua orang pelajar yang mencapai straight A. Pada keseluruhannya prestasi pelajar SPM telah meningkat di dalam beberapa subjek. Kelulusan jugs meningkat dari 98.3% (2008) kepada 99.0% (2009). Sekah lagi PIBG merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru yang terlibat di dalam usaha membimbing dan mentarbiahkan pelajar SPM, tanpa mengira penat dan lelah.

KEPUTUSAN PMR 2009

Tahniah! Seramai 24 orang pelajar mencapai straight A. Peratus kelulusan telah meningkat dari 76.50% (2008) kepada 83.37% (2009). PIBG ingin merakamkan setinggi­tinggi terima kasih kepada warga pendidik yang telah berusaha meningkatkan kejayaan ini. Syabas!


PUSAT SUMBER BERWAJAH BARU



Hasil Program Bacathon PIBG telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM74,000, dengan tujuan menaiktarafkan Pusat Sumber, supaya lebih selesa dan kondusif untuk kegunaan pelajar dan guru sekolah. Projek ubahsuai bermula pads 23 Nov 2009 dan siap, pada 2 jan 2010 dengan mengubah tingkap, siling, pendingin hawa dan sebagainya. Pihak sekolah terutama JK Pusat Sumber berterima kasih kepada PIBG di atas keperihatinan dan usaha meningkatkan prasarana Pusat Sumber ini.


Tuesday, April 6, 2010

Sukan 2010

Sebahagian gambar semasa Hari Sukan SMK Bandar Baru Bangi 2010 yang telah diadakan di Kompleks Sukan Seksyen 15 Bandar Baru Bangi. Semua pasukan bersemangat dengan stail dan cara masing-masing.

Monday, April 5, 2010

Latihan SPS (Rancangan Pengajaran Harian Online)




Satu latihan khusus untuk penggunaan Rancangan Pengajaran Harian telah diadakan disekolah (Makmal Bestari) pada Hari Rabu (31 Mac 2010). Seramai 20 orang guru telah menghadiri latihan tersebut yang meliputi cara mengakses Sistem Pengurusan Sekolah dan juga menggunapakai Rancangan Pengajaran harian dalam SPS.

Latihan ini dilaksanakan oleh Pn Mazlifah (Facilitator Rebound Asia) dengan dibantu oleh Cikgu Musa (GPB SMKBBB) juga cikgu Norashikin (ICT). Maklumbalas yang diterima ialah guru berminat untuk menggunakan RPH online ini kerana ia memudahkan guru membina RPH dan memudahkan Pengetua/Pengurusan memantau perjalanan urusan P&P di sekolah kepada semua guru akademik.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...