Sunday, September 13, 2009

BERITA GEMBIRA UNTUK ORANG YANG SABAR

BERITA GEMBIRA UNTUK ORANG YANG SABAR

DI DALAM al-Quran terdapat tidak kurang 94 perkataan `sabar'. Secara mudah hakikat ini menggambarkan betapa sifat sabar amat dituntut supaya dimiliki oleh umat Islam yang beriman.
Dalam surah awal al-Baqarah, perkataan sabar dinyatakan tujuh kali. Antaranya ialah:
``Hai orang-orang yang beriman, jadikan sabar dan solat sebagaipenolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.'' - Ayat 153.
``Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.'' - Ayat 155
Mualim membangkitkan peri pentingnya sifat sabar ini kerana di zaman ini umat Islam semakin hilang kesabaran sedangkan Allah menuntut kitabersabar.
Anda boleh menyaksikan betapa banyak sifat tidak sabar dizahirkan pada setiap hari di sekeliling kita, sama ada dalam perjalanan ke pejabat, di pejabat, kawasan perumahan dan kompleks beli-belah.
Jika anda menunaikan fardu haji, anda juga akan mendapati betapa ramai jemaah haji tidak memiliki sifat sabar. Mereka terlupa atau barang kali tidak mengetahui bahawa Allah sentiasa beserta dengan orang yang sabar.
Bagaimana mahu mendapat ibadat haji yang mabrur jika tidak mengendahkan peringatan Allah yang berulang-ulang dalam al-Quran ini. Barangkali mereka hanya membaca al-Quran dalam bahasa Arab dan tidak pernah mengambil tahu maksud ayat-ayatnya.
Sifat sabar ini boleh menghasilkan kemenangan dalam peperangan. Inilah rahsia kemenangan 313 pejuang Islam ke atas lebih 1,000 tentera musyrikin dalam perang Badar.
`Hai Nabi (Muhammad), kobarkan semangat para mukmin itu untuk berperang. Jika ada 20 orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang (yang sabar) di antaramu, mereka dapat mengalahkan 1,000 daripada orang-orang kafir yang tidak mengerti.'' 8:65.
Agak aneh bahawa pada hari ini kesabaran tidak menjadi pegangan kuat umat Islam. Apakah mereka tidak percaya kepada janji2 Allah? Jika begitu, tidaklah mereka tergolong sebagai orang beriman.
Tidakkah mereka melihat bahawa sifat sabar telah memberikan kemajuan kepada bangsa-bangsa yang maju di dunia. Lihat sahaja bangsa Jepun yang memiliki daya kesabaran yang tinggi.
Cara mereka duduk berlipat kaki berjam-jam sudah menunjukkan betapa mereka ini bangsa yang sabar. Barang kali cara duduk itu juga melatih mereka supaya bersabar.
Peraturan Di jalan raya, orang Jepun sangat sabar mematuhi had laju dan lain-lain peraturan lalu lintas. Mualim yang pernah mengunjungi Jepun sebanyak empat kali, berpeluang menyaksikan kesabaran mereka sama ada ketika bekerja atau lain-lain urusan kehidupan. Para pekerja pengutip sampah akan membersihkan tong sampah sehingga tiada sedikit pun saki-baki. Trak membawa sampah juga dibersihkan sehingga kelihatan seperti trak baru.
Kesabaran menjadi asas ketahanan dan ketekunan mereka dalam menjalankan apa jua kerja. Mualim pernah menaiki bas ekspres selama tiga jam di lebuh raya yang had lajunya hanya 70 km/j bagi kenderaan berat. Tidak sesaat pun bas itu melebih had laju tersebut. Di Malaysia dan kebanyakan negara Arab, para pemandu yang beragama Islam kadang kala berlumba dengan kereta-kereta biasa.
Sebenarnya, orang yang tidak sabar akan mudah melakukan kesilapan dalam apa jua yang mereka lakukan. Mereka lekas marah dan sering kali tidak dapat berfikir dengan waras, apatah lagi bijak.
Jika kita mengkaji negara-negara yang kurang maju di dunia, kita akandapati bahawa kebanyakan rakyat mereka tidak mempunyai daya kesabaran yang tinggi. Mereka suka bergaduh dan tidak berdisiplin. Kesabaran sebenarnya adalah disiplin diri yang terbukti menjadi faktor kejayaan. Itulah janji Allah kepada umat yang diberikan kitab al-Quran, tetapi mereka tidak menghiraukannya.
Di kalangan orang-orang Islam yang kononnya mendapat pendidikan agama yang tinggi, sifat tidak sabar juga sering terserlah melalui tutur kata yang tidak sopan dan kesat kerana kemarahan terhadap musuh-musuh politik.
Baru-baru ini berlaku satu kes yang menyerlahkan kakitangan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga tidak sabar. Mereka menangkap dan menggari seorang pelajar UiTM yang kononnya berjalan dengan pasangannya secara berpeluk di khalayak ramai. Pelajar lelaki itu tidak layak digari, tetapi disebabkan kakitangan JAIS hilang kesabaran apabila tindakan mereka dicabar, maka berlakulah apa yang tidak patut berlaku. Kes itu menjadi bahan kritikan akhbar.
Sungguh malang kerana di kalangan umat Islam sendiri ramai yangberpendapat bahawa kesabaran itu adalah sifat orang yang lemah. Mereka ini tidak percaya apa yang Allah janjikan kepada mereka. Tidak percaya ertinya tidak beriman. Tidak percaya juga satu kebodohan. Sabar bukannya bererti kita tidak bertindak jika orang lain bertindakjahat terhadap kita. Sabar sebaliknya membolehkan kita bertindak dengan tenang, tidak emosional, tidak tergopoh-gapah serta mematuhi peraturan dan undang-undang.
Selepas menang dalam perang Badar, para pejuang Islam tewas dalam perang Uhud. Puncanya mereka tidak sabar untuk mengutip rampasan perang, lalu melanggar perintah Rasulullah yang berpesan supaya mereka tidak meninggalkan kubu di lereng bukit.
Apa bezanya para pejuang Uhud dengan kebanyakan umat Islam hari ini. Kita juga mudah hilang sabar!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...